Tuesday, December 28, 2010

Pinggirkan Wahan

Ya. Islam akan bersinar semula di muka bumi walaupun cuba dihalangi oleh musuh-musuhnya. Allah berfirman di dalam surah As-Saff ayat 8, “Mereka hendak memadam cahaya agama Allah dengan mulut mereka. Allah tetap akan menyempurnakan cahaya agamaNya, walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.”


Tidak dapat dinafikan secara umumnya kualiti umat Islam berada di tahap yang amat rendah pada hari ini. Di antara sebabnya ialah wabak wahan yang sedang menyerang umat Islam sejagat. Wabak ini menyerang hati orang-orang Islam, melemah dan merosakkannya sehingga akhirnya mereka kehilangan taring dan kehebatan. Secara dasarnya, mereka yang cintakan dunia akan menjadi hambanya. Mereka yang menjadi hambanya akan melupakan tugas-tugas pengabdian kepada Allah. Mereka yang melupakan Allah terpaksa melupakan rahmat dan nikmatNya.


Mereka yang seperti ini akan diporak-perandakan oleh musuh-musuh mereka dengan mudah sekali. Berhubung dengan ini Nabi bersabda: “Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan.” Berkata seorang sahabat: “Adakah ia lantaran jumlah kita yang sedikit?” Nabi menjawab: “Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih-buih ketika berlaku banjir. Allah mencabut rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu.” Sahabat-sahabat bertanya: “Apakah dia al-wahan?” Bersabda Nabi: “Cintakan dunia dan takutkan mati.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.


Sahabat-sahabat Nabi merupakan contoh yang terbaik tentang golongan yang berjaya. Mereka tidak mencintai dunia, justeru mereka menguasainya. Kecintaan mereka dihadapkan kepada akhirat dan bagi mereka dunia hanyalah tempat mencari bekalan persis musafir di dalam perjalanan. Mereka memahami dan menghayati sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud, “Jadilah kamu di dunia seperti seorang yang bermusafir ataupun seorang yang sedang melalui suatu jalan.”


Cinta terhadap dunia perlu digantikan dengan cinta terhadap Allah tanpa mengabaikan dunia. Kecintaan terhadap Allah akan melahirkan perasaan cinta terhadap akhirat dan ia mempunyai manifestasinya. Di antara manifestasinya ialah berani melawan arus kesesatan dan kemungkaran yang melanda. Mereka yang seperti ini merupakan Ashabul Kahfi di akhir zaman. Nabi Muhammad menggelar mereka dengan nama Ghuraba berdasarkan sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud, “Islam bermula asing dan ia akan kembali asing seperti permulaannya, maka bahagialah golongan Ghuraba.” Sahabat Nabi bertanya kepada Baginda: “Siapakah Ghuraba ya Rasulullah?” Baginda bersabda: “Mereka ialah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan oleh manusia.”


Memperbaiki sesuatu yang sudah rosak bukanlah suatu yang mudah apatah lagi jika kerosakannya sudah begitu teruk. Namun itulah tugas yang wajib dilaksanakan oleh mereka yang cintakan agama kerana kemuliaan diri mereka terletak di situ. Justeru ilmu yang mantap lagi sahih amat diperlukan agar perbaikan yang diperlukan dapat dilakukan dengan baik. Usaha perbaikan yang paling penting ialah mengislah manusia terutamanya kefahaman mereka. Berhubung dengan ini, Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, “Manusia adalah laksana lombong emas dan perak. Mereka yang terbaik di zaman jahiliah mereka jugalah yang terbaik di dalam Islam apabila mereka memiliki kefahaman agama.”

0 comments:

Post a Comment