Sunday, January 23, 2011

MUJAHADAH MELAWAN NAFSU!!!

PESANAN UMAR AL-KHATTAB...

Perhatikan pesanan Sayidina Umar al-Khattab kepada ketua tentera Muslimin , Saa'd bin Abi Waqqas ketika beliau mengutusnya untuk pembukaan kota Parsi:

Sesungguhnya aku memerintahkan kepadamu wahai Saa'd dan juga mereka yang bersama-samamu supaya bertakwa kepada Allah s.w.t dalam apa jua keadaan kerana sesungguhnya taqwa kepada Allah s.w.t adalah sebaik-baik persiapan untuk mengalahkan pihak musuh dan juga sehebat-hebat strategi dalam peperangan.
Aku memerintahkan kepadamu dan mereka yang bersama-samamu supaya menjauhkan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya dosa -dosa yang dilakukan oleh tentera Islam lebih aku takuti daripada musuh-musuh Islam.
Sesungguhnya oranag Islam telah mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t disebabkan oleh kemaksiatan yang telah dilakukan oleh pihak musuh. Jika bukan kerana hal itu, nescaya tidak ada lagi bagi orang Islam kekuatan.
Bilangan tentera kita tidak seramai bilangan tentera mereka . Kelengkapan senjata kita tidak sehebat kelengkapan senjata mereka. Maka jika amalan maksiat dan tabiat kita sama dengan pihak musuh , nescaya kelebihan kekuatan dan kemenangan akan menyebelahi mereka!
Jika kita tidak mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t ke atas musuh-musuh ini dengan kelebihan kitab, sudah pasti kita tidak akan dapat mengalahkan mereka.

Ketahuilah,
Bahawasanya bersama-sama dalam perjalananmu, malaikat-malaikat yang mengawasi , dan para malaikat ini mewakili pihak kerajaan Allah s.w.t untuk menjagamu. Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Maka malulah terhadap apa yang kamu lakukan . Janganlah kamu berkata, "Sesungguhnya pihak musuh lebih hina daripada kita , dan mereka tidak dapat menguasai kita walaupun kita turut berbuat kejahatan ."
Mana tahu Allah akan mendatangkan satu kaum yang lebih zalim daripada pihak musuh seperti yang berlaku pada kepada kaum Bani Israil dahulu yang akhirnya mereka telah dikuasai oleh orang kafir Majusi (penyembah api) .
Mohonlah daripada Allah Taala kemenangan ke atas nafsu-nafsumu, seperti kamu memohon kemenangan ke atas musuh-musuhmu. Aku memohon perkara yang sama ke atas diriku dan dirimu.

Hari ini pesana Saiyidina Umar itu dianggap sepi. Kita cuba menentang musuh Islam padahal sikap dan peribadi kita lebih kurang sama sahaja dengan mereka. Mereka mengikut nafsu , kita juga apa kurangnya. Belum terdengar lagi mana-mana pemimpin Islam yang begitu serius mengajak umatnya melawan nafsu.
Tidak hairanlah mengapa sehingga hari ini kita terus dikuasai musuh Islam dalam penjajahan bentuk baru (neokolonialisme) baik dari sudut budaya, politik , ekonomi mahupun geografi. Kita kalah dengan musuh zahir (Yahudi dan Nasrani) kerana kita terlebih dahulu dikalahkan oleh musuh batin iaitu hawa nafsu. Tegasnya , jihad melawan orang kafir tidak mungkin menjadi realiti kecuali setelah jihad melawan nafsu terlebih dahulu.

Dalam kitab Minhaj Al- Abidin, Imam Ghazali menggariskan tiga prinsip asas untuk melawan nafsu seperti berikut:


1. Menahan atau menyekat sumber kekuatan nafsu
- dengan menahan perut daripada makan banyak, menahan pandangan (mata) daripada melihat benda yang haram, mulut daripada berkata perkara-perkara yang dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.

2. Membebankan nafsu dengan ibadah
- solat terutamanya sangat perlu untuk "menyiksa" nafsu . Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam (qiamullail) sangat berkesan untuk menundukkan nafsu. Begitu juga dengan zikrullah, sedekah, kerja kerja amal , belajar dan kerja-kerja kebajikan lain.

3. Berdoa meminta bantuan Allah dalam usaha menewaskan nafsu
- nafsu itu makhluk Allah maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai nafsu. Antara doa Rasulullah dalam mujahadah melawan nafsu: "Ya Allah ya Tuhanku, berilah aku takwa, dan bersihkanlah diriku. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan . Engkaulah pelindungku dan pemimpinku."

0 comments:

Post a Comment