Tuesday, February 8, 2011

BERANI BERCITA-CITA BESAR!

  Secubit garam akan memasinkan segelas air.Tetapi jika garam yang secubit itu diletakkan ke dalam sebuah teko, kemasinan garam akn berkurang.Jika garam yang sama kuantitinya dilarutkan pula dalam sebaldi, sekolah, malah sekolam air, masinnya tidak akan terasa langsung.
  Begitulah perumpamaan perbandingan di antara masalah dengan cita-cita . Masalah umpama garam , manakala cita-cita umpama air. Semakin besar cita-cita, maka semakin mengecil masalah, seperti mana garam yang hilang kemasinannya apabila air bertambah.
  Taktik dan stratergi inilah yang kerap digunakan oleh para pemimpin ulung untuk mendorong para pengikutnya mencapai kejayaan yang besar dalam suatu perjuangan.Ketika dikepung olah tentera-tentera Musyrikin yang begitu ramai dalam perang Khandak misalnya, Rasulullah s.a.w telah bertindak membesarkan cita-cita mereka.
  Ketika itu berlaku peristiwa hebat yang tercatat dalam buku-buku sejarah, apabila kerdipan cahaya memancar daripada beliung Rasulullah s.a.w yang berlaga dengan seketul batu besar sewaktu Baginda menggali parit untuk mempertahankan kota Madinah. Sungguh hebat apabila di sebalik insiden itu Rasulullah s.a.w telah meyakinkan para sahabatnya bahawa cahaya tersebut adalah isyarat Rom dan Parsi akan jatuh ke tangan tentera Islam  suatu hari nanti.
  Bayangkan , dalam keadaan Rasulullah dan para sahabat dihimpit  kelaparan dan kecemasan akibat kepungan musuh dari luar dan pembelotan kaum Yahudi dari dalam , namun Baginda bukan sahaja menanamkan keyakinan bahawa masalah semasa itu akan dapat diatasi, malah tentera Islam dijanjikan kemenangan yang jauh lebih besar denagn mengatasi musuh yang lebih kuat pada masa akan datang.
  Ya! Cita-cita yang besar akan mengecilkan masalah yang sedang dihadapi. Sebab itu jika kita terlalu disusah-susahkan bahkan dikalahkan oleh masalah-masalah semasa, itu petanda cita-cita kita masih kecil. Jika cita-cita kecil , bangsa yang walau bagaiman bijak ,kuat dan kaya sekalipun tidak akan mampu mencipta sejarah. Sebaliknya, mereka yang akan mudah 'diratah' oleh bangsa yang kecil yang mempunyai cita-cita yang besar .
  Cita-cita yang besar datang daripada jiwa yang besar. Jiwa yang besar lahir daripada keyakinan (keimanan) yang kuat. Inilah yang diucapkan oleh Rubaiyi' bin Amir , panglima tentera Islam ketika berdepan dengan Rustam, ketua tentera Parsi. Antara lain beliau berkata:

   "Kami ialah pejuang yang ingin membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah. Kami ingin membawa manusia keluar daripada kesempitan dunia kepada kelapangan akhirat.."
  Sungguh, jika kita benar-benar menghambakan diri kepada Allah maka merdekalah kita daripada belenggu penghambaan sesama manusia dan segala sistem hidup yang menyeleweng. Kita akan menghirup udara kebebasan walaupun terhimpit oleh kesempitan dan penindasan orang yang zalim.
  Keyakinan kepada hari akhirat yang kekal abadi, menyebabkan hati kita reda dan rela menerima ujian hidup di dunia yang sementara ini.
  Rasa manisnya iman dan keghairahan mengecapi syurga akan memujuk hati kita daripada tergoda oleh nikmat kejahatan yang sangat mengiurkan pada akhir zaman ini.
  Rasa gerun kepada neraka dan kemurkaan Allah akan menyebabkan kita sanggup memikul beban menggalas sunnah Rasulullah s.a.w walaupun semacam menggenggam bara api.
  Justeru, ketika ditimpa ujian hidup, usahlah dipinta dikecilkan ujian hidup, tapi pintalah agar dibesarkan iman menghadapinya!

0 comments:

Post a Comment