Thursday, February 17, 2011

GELORA IMAN DI USIA MUDA


Di dalam sebuah hadis sahih yang amat masyhur bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud ,"Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah di bawah teduhan rahmat-Nya pada hari (kiamat) yang tiada sebarang lindungan rahmat-Nya ; pemerintah yang adil ,pemuda yang menggunakan masa muda remajanya dalam beribadah kepada Allah,lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid ,dua orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah-mareka yang bertemu dan berpisah kerana Allah,lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan dan jelita,lalu dia berkata, 'sesungguhnya aku takutkan Allah',seorang yang memberikan sedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya dan lelaki yang mengingati Allah sehingga berlinangan air matanya." (Riwayat al-Bukhari,Muslim dan selain daripada keduanya)

Hadis di atas menyenaraikan beberapa golongan manusia yang akan begitu bertuah untuk menerima fadilat yang amat besar, iaitu akan diletakkan di bawah naungan rahmat Allah s.w.t. Ini fadilat yang amat besar kerana pada waktu itu , tiada lindungan dan teduhan lain yang boleh diharapkan,melainkan naungan rahmat Allah.

Merenungi senarai tujuh golongan ini, kita dapati Allah mengkategorikan secara khusus satu golongan, iaitu golongan remaja atau pemuda yang trelah memenuhi usia muda mereka dan membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah. Betapa tinggi fadilat yang telah dikhususkan kepada mereka.

Hadis ini telah diucapkan oleh Rasulullah dalam satu majlis umum .Maka antara kelompok para sahabat yang pastinya turut mendengar sabda ini ialah golongan remaja dan muda-mudi dalam kalangan sahabat.

Fadilat yang sangat hebat ini sudah pasti akan menyemarakkan lagi keimanan yang adadalam hati mereka. Fadilat yang semulia ini akhirnya akan membentuk jati diri Mukmin yang hakiki pada anak-anak sahabat ini. Sejarah telah mencatatkan , betapa tubuh-tubuh kecil remaja pada zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat ini,hakikat iman yang mengalir dalam diri mereka bolah membuatkan orang dewasa pada zaman kita menundukkan muka kerana malu!

Al-Tabrani meriwayatkan bahawa Abdullah bin Zubair r.a dan Abdullah bin Jaafar r.a berbaiah kepada Nabi Muhammad s.a.w ketika mereka baru berusia 7 tahun.Ketika melihat Rasulullah melihat keduana,Baguinda tersenyum dan menghulurkan tangan Baginda ,lalu membaiah kedua-duanya.

Satu riwayat lagi menjelaskan ,betapa tinggi tahap pengabdian para remaja tersebut dalam usaha mereka untuk meraih darjat syahid, darjat yang paling tinggi di sisi Allah s.w.t

Dikeluarkan oleh Ibn 'Asakir daripada Saad bin Abi Waqqas katanya: "Rasulullah mengembalikan adikku 'Umair bin Abi Waqqas kepadaku dari medan pertempuran badar kerana dia masih kecil"

Lalu 'umair menangis memohon supaya Nabi mengizinkannya keluar berjihad di jalan Allah . Akhirnya Rasulullah memberikan keizinan . (Kata Saad), "Maka aku pun mengikatkan sarung pedangnya kepada tubuhnya . Dia telah menyertai peperangan badar.Ketika itu dia hanya mempunyai sehelai janggut yang serimg aku usap dengan tanganku."

Didalam kitab al-Isabah dinyatakan ,sebelum 'Umair dilarang oleh Rasulullah ,dia sembunyi-sembunyi telah cuba menyelinap ke dalam barisan para sahabat. Apabila Saad melihatnya. beliau bertanya lalu dijawab oleh 'Umair r.a."Aku takut Rasulullah melihatku, lalu aku dihalangi kerana aku masih kecil, sedangkan aku amat cinta untuk berjihad, agar Allah mengurniakan syahid kepadaku."Ibnu Saad dan al-Bazzar meriwayatkan bahawa Saad menyatakan, akhirnya'Umair syahid ketika usianya sekitar 16 tahun.

Dapatkah kita selami, apakah sebenarnya yang bergelora di dalam hati seorang remaja berusia 16 tahun bernama 'Umair bin Abi Waqqas ini? Benarlah, sekali iman telah menjalar di dalam diri seseorang, segala-galanya sedia dikorbankan untuk memenuhi tuntutan iman!

0 comments:

Post a Comment